"Sometimes people think you are an inspiration but somehow it recycles - that we actually inspire each others." - Diana Nuzuin.


Bismillah


Ada banyak hal dalam hidup ini yang kalau Allah nak bagi, dengan mudah Allah akan bagi. Tapi, hal-hal indah memang selalunya tidak datang dari hal-hal yang mudah. Apatah lagi dalam menentukan tujuan hidup, hendaklah pandai memilih mana yang sesuai buat diri, bukan yang disukai sahaja. Hamka pernah menuliskan, perlunya ada pengetahuan akan perkara yang mesti diketahui. Perlu bijak meletakkan akal dengan mengimbangkan fikiran, kemahuan dan perasaan (al-fikr,  al-iradah, al-wijdaan). 

Dalam buku Falsafah Hidup, Hamka banyak sekali menyentuh berkaitan orang-orang yang berakal. Salah satu darinya berkaitan bagaimana orang-orang yang berakal itu bijak sekali dalam membuat pilihan. Mereka seringkali memandang besar segala kesalahan  walaupun kadangkala ia hanyalah kecil di mata orang lain.  Silap kita kadangkala apabila memandang kecil suatu kesalahan, maka yang kedua, ketiga dan seterusnya, kita sudah tidak lagi merasakan bahawa kesalahan itu besar, atau tidak dapat membezakan lagi mana yang kecil dan mana yang besar. 

Memang dari perkara-perkara kecil jugalah biasanya timbul bahaya yang besar. Lihat saja bagaimana tiap tahun, orang yang mati dibunuh nyamuk lebih banyak daripada orang yang mati dibunuh singa. Penyakit yang berbahaya selalunya datang dari serangga kecil. Bahkan banjir besar juga datang dari setitik demi setitik air hujan.

Kata Hamka lagi, orang yang berakal itu sedar bahawa di antara akal dan nafsu, atau di antara fikiran dan hawa tidak akan ada persetujuan. Andai diturutkan kehendak nafsu, manis pangkal dan hambar hujungnya. Andai diturut kehendak akal, pahit pangkal tetapi manis hujungnya. Sebab itu orang-orang yang berakal lebih suka berpahit-pahit dahulu, bermanis-manis kemudian. Jika dihadapkan dengan suatu pekerjaan yang ragu-ragu atau jalan bersimpang yang belum dapat ditentukan, mereka seringkali menanyakan hati, mana yang lebih sesuai. Dan nafsunya itulah yang dijauhi. Namun, orang-orang yang berakal itu bukanlah mereka yang suci daripada dosa. Kerana kata Hamka, "bagaimana akan suci bersih gelanggang pertempuran hawa nafsu dan akal? Yang terdapat di sana ialah perjuangan."









Kadangkala tulisan-tulisan Buya Hamka sangat memberi sindiran halus buat sesiapa saja yang membaca. Umpama seorang ayah memberi nasihat buat anak-anaknya. Bagaimana tak terasa, kalau semua ciri-ciri orang yang berakal yang dinyatakan rasanya tak mampu lagi diri sendiri nak capai. Perempuan khususnya, selalu saja meletakkan emosi dan perasaan dalam membuat keputusan, baru berfikir. Hmmm, ingatkanlah saya bila saya terlupa >_<

"..but once I realized the problem was not you, but within me, I found inner peace. and was able to harness the flow of the universe." 
- Master Shifoo, Kungfu Panda II

Kalaulah ada benda yang kita nak ubah sebenarnya bukan orang lain, tapi perlu dan mesti bermula dengan diri sendiri kerana kita tidak akan pernah dapat mengubah orang lain. Bilamana kita berubah, orang lain akan turut sama sedikit demi sedikit berubah. Konsep `mengajar orang lain` hanya sesuai dibuat di dalam bilik darjah di sekolah. Dalam kehidupan seharian, bahkan dalam mendidik anak-anak, konsep `mengajak`, dan `kita buat sama-sama` adalah lebih baik. Kerana, seringkali orang lain akan lebih terinspirasi dan mencontohi apa yang  `dibuat` dan `dilihat` berbanding apa yang `dicakap`.

Dalam memperbaiki diri sendiri, sememangnya tidak akan ada titik pengakhirannya. Kita akan tetap menjadi orang yang belajar dan diajar baik melalui alam, manusia, dan persekitaran. Teruskanlah belajar. Practice makes permanent!


"Jangan buat orang rasa jahat dengan kebaikan kita. Jangan buat orang rasa kurang dengan kelebihan kita. Jangan buat orang rasa duka dengan gembiranya kita. Banyakkan mengajak, kurangkan mengajar. Biasakan menggalak, jauhi menyalah. Pilih cara positif, tinggal cara negatif." 
- Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Comments